Kampung Changkat Legong. Signage ini di hadapan rumah ketua kampung
Rumah Ketua Kampung, Encik Osman
Tanah terbiar di tepi rumah ketua kampung. Bakal diusahakan kami juga
Lombong di hadapan kolam ikan
Tapak tanaman sayuran di depan kolam ikan
Kolam 1
Sebelahnya, kolam 2
Sebelahnya, kolam 3
Kawasan lombong yang luas
Assalamualaikum
Hari ini saya berkesempatan melawat kolam Abang Fauzi yang bertapak di Kampung Changkat Legong, Gopeng, Perak. Sepertimana yang direncanakan oleh Abang Fauzi, beliau menginginkan kami (Saya dan Nuraini) untuk bukan sahaja menjadi pelatih beliau, namun sehingga menjadi rakan kongsi beliau sendiri.
Sememangnya banyak perkara menarik yang dapat dihidangkan sebagai pembuka selera bakal penternak muda sekarang. Namun tidak ramai yang mengetahui, selok belok perniagaan tidak selalunya dilakar cantik. Tidak boleh tidak, semua perniagaan mempunyai sisi gelapnya yang tersendiri. Begitulah apa yang diceritakan oleh bang Fauzi yang 10 tahun bergelumang dengan pertanian dan penternakan.
Satu persatu cerita yang dibangkitkan, semuanya menarik perhatian saya. Salah satunya, program2 kerajaan yang semakin banyak dilaksanakan untuk membantu para usahawan muda zaman ini. Ia bagaikan begitu memberi keyakinan yang tinggi kepada bakal usahawan muda bahawa ia sesuatu yang perlu dilakukan. Namun hakikatnya, pinjaman yang dijanjikan tidak semudah dipaparkan di media massa. Proses pembelian semula hasil keluaran tidak seindah lakaran kertas kerja para penternak muda semasa mula-mula ingin berkecimpung dalam bidang masing2. Birokrasi adalah salah satu penyebab utama ketidaklancaran perkara2 yang menjadi rebutan usahawan muda masa ini.
Sebagai contoh, pinjaman akan ditawarkan unutk graduan yang ingin memulakan perniagaan. Tampak mudah. Namun bila diusul perkara sedemikian, banyak pula syaratnya. Pinjaman memerlukan para usahawan bermula terlebih dahulu di atas modal sendiri. Paling tidak perniagaan mesti sudah berjalan 6 bulan di samping memerlukan bukti tuaian hasil kepada peraih, itu dan ini. Tanah yang dinginkan penternak, diajukan kepada Pejabat Tanah namun sampai masanya, tanah itu tidak dapat dibeli atau disewa sekalipun. Ianya dijadikan hak milik orang2 tertentu yang lebih berpengaruh. Inilah antara masalah2 yang timbul.
Sebagai motivasi diri yang bersifat sebaliknya, Abang Fauzi tidak menjanjikan apa2 melainkan 3 buah kolam terbiar yang kosong! Kami berdualah yang perlu membuat apa yang perlu untuk menjadikan kolam itu bermanfaat. Bukan bermula dari kosong, sebaliknya hampir kurang lagi dari titik sifar.
Apakah yang terbayang di fikiran ahli program Tunas Mekar yang lain bila mereka dipertemukan dengan tapak perniagaan pengusaha yang ingin dijadikan mentor nanti? Paling tidak gambarannya, ia adalah satu perniagaan yang sudah stabil namanya, mempunyai infrastruktur atau bangunan yang indah dengan beberapa kakitangan digaji. Ini tidak berlaku apabila saya melawat kolam Abang Fauzi. Satu pendedahan yang membantutkan motivasi saya sebenarnya...
Saya dihidangkan 3 kolam terbiar, berlalang, tiada apa kecuali air yang bertakung. Di atas tanah kering, berbumbung langit dan panas matahari yang membakar. Sebuah lombong besar yang terbentang dihadapan bagaikan tersenyum melihat kehadiran pertama saya, mungkin mula menduga adakah saya akan kembali atau tidak lagi selepas ini. Tiada kolam ikan keli yang sudah dibina. Ianya kosong...
Bukan untuk bersikap negatif, saya menganggap inilah dugaan pertama kami dalam menceburi bidang penternakan ini. Perlu diingat bahawa Abang Faudzi tidak menganggap kami sebagai pelatih sahaja, namun lebih dari itu, kami dianggap rakan kongsi. Beliau menyediakan tanah dan kos benih untuk permulaan, kami menjaga dan menternak ikan mengikut prosedur yang dipelajari. Sampai masa tuaian, kesemua hasil adalah milik kami dalam bentuk ringgit. Inilah motovasi saya sekarang ini. Peluang yang tidak mungkin didapati oleh semua pelatih Tunas Mekar yang lain.
Perkara ini dapat dibaca oleh Abang Fauzi yang selepas itu membawa saya melawat Ketua Kampung tersebut, Encik Osman yang juga merupakan JKKP kampung tersebut. Sebelum itu saya diperkenalkan dengan Encik Nizam, pegawai pertanian daerah Kinta Selatan. Bersama beliau, saya diajar untuk tidak mengetepikan kuasa ketua kampung dalam apa jua hal. Dikirakan selepas ini saya bakal menjadi seorang usahawan, perkara yang penting dalam membuat sesuatu permohonan tanah, pinjaman, adalah sepatutnya menerusi rangkaian tangga kuasa sesuatu pihak. Bermula dengan Ketua kampung, penghulu, Pejabat Daerah, Pejabat Negeri dan Kementerian. Setiap usul perlu melalui kesemua pihak ini agar maklumat sampai kepada semua yang terbabit.
Turut dibincangkan adalah hal penempatan bagi pelatih. Bagi saya, penempatan adalah sama seperti 2 orang pekerja sedia ada Abang Fauzi. Namun bagi Nuraini, Encik Osman akan mempertimbangkan untuk mencari keluarga yang sesuai ataupun menginap di rumah beliau sendiri. Tidak jauh dari kampung Changkat Legong, terdapat perumahan yang mempunyai banyak rumah-rumah untuk disewa dengan kadar murah namun sepertimana dikatakan Abang Fauzi, keselamatan pelatih (terutamanya perempuan) mesti diutamakan. Jika tinggal di rumah Encik Osman, pastinya Nuraini lebih selesa kerana beliau juga mempunyai anak perempuan yang hampir sebaya. Perkembangan lain akan disusuli Abang Fauzi dalam beberapa hari lagi.
Selepas itu saya dibawa bertemu Tuan Haji Jaafar, Iron Man Gopeng. Beliau mempunyai perniagaan ikan keli dan beberapa tanaman buah-buahan. Latihan saya juga bakal menemukan dengan Tuan Haji Jaafar untuk tajuk pembenihan. Beliau mempunyai 68 buah koman namun hanya mengusahakan 6 kolam sahaja. Baru-baru ini beliau memasukkan 40000 benih baru ke dalam kolam, jadi masanya adalah sangat sesuai untuk kami pelatih memulakan latihan secepat mungkin.
Abang Fauzi juga mempunyai skop tersendiri untuk melatih kami. Dengan 3 kolam terbiar, beliau bersifat adil bagi saya kerana menjanjikan pulangan 100% ikan keli nanti adalah milik kami berdua sahaja. Terpulang dengan apa jua pembangunan kolam untuk menjadi rencana kami nanti. Selain itu, beliau bercadang akan menjadikan kami rakan kongsi untuk projek 2010 beliau di lombong berdekatan tadi. Projek apa, itu masih tidak mahu didedahkan beliau. Namun melihatkan keluasan lombong tadi, ia bagaikan menjanjikan sesuatu kepada sesiapa yang sabar...
Assalamualaikum
0 ulasan:
Catat Ulasan