CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Isnin, 20 Julai 2009

Lawatan ke Kolam Encik Faudzi

Kampung Changkat Legong. Signage ini di hadapan rumah ketua kampung

Rumah Ketua Kampung, Encik Osman

Tanah terbiar di tepi rumah ketua kampung. Bakal diusahakan kami juga

Lombong di hadapan kolam ikan

Tapak tanaman sayuran di depan kolam ikan

Kolam 1

Sebelahnya, kolam 2

Sebelahnya, kolam 3

Kawasan lombong yang luas
Assalamualaikum

Hari ini saya berkesempatan melawat kolam Abang Fauzi yang bertapak di Kampung Changkat Legong, Gopeng, Perak. Sepertimana yang direncanakan oleh Abang Fauzi, beliau menginginkan kami (Saya dan Nuraini) untuk bukan sahaja menjadi pelatih beliau, namun sehingga menjadi rakan kongsi beliau sendiri.

Sememangnya banyak perkara menarik yang dapat dihidangkan sebagai pembuka selera bakal penternak muda sekarang. Namun tidak ramai yang mengetahui, selok belok perniagaan tidak selalunya dilakar cantik. Tidak boleh tidak, semua perniagaan mempunyai sisi gelapnya yang tersendiri. Begitulah apa yang diceritakan oleh bang Fauzi yang 10 tahun bergelumang dengan pertanian dan penternakan.

Satu persatu cerita yang dibangkitkan, semuanya menarik perhatian saya. Salah satunya, program2 kerajaan yang semakin banyak dilaksanakan untuk membantu para usahawan muda zaman ini. Ia bagaikan begitu memberi keyakinan yang tinggi kepada bakal usahawan muda bahawa ia sesuatu yang perlu dilakukan. Namun hakikatnya, pinjaman yang dijanjikan tidak semudah dipaparkan di media massa. Proses pembelian semula hasil keluaran tidak seindah lakaran kertas kerja para penternak muda semasa mula-mula ingin berkecimpung dalam bidang masing2. Birokrasi adalah salah satu penyebab utama ketidaklancaran perkara2 yang menjadi rebutan usahawan muda masa ini.

Sebagai contoh, pinjaman akan ditawarkan unutk graduan yang ingin memulakan perniagaan. Tampak mudah. Namun bila diusul perkara sedemikian, banyak pula syaratnya. Pinjaman memerlukan para usahawan bermula terlebih dahulu di atas modal sendiri. Paling tidak perniagaan mesti sudah berjalan 6 bulan di samping memerlukan bukti tuaian hasil kepada peraih, itu dan ini. Tanah yang dinginkan penternak, diajukan kepada Pejabat Tanah namun sampai masanya, tanah itu tidak dapat dibeli atau disewa sekalipun. Ianya dijadikan hak milik orang2 tertentu yang lebih berpengaruh. Inilah antara masalah2 yang timbul.

Sebagai motivasi diri yang bersifat sebaliknya, Abang Fauzi tidak menjanjikan apa2 melainkan 3 buah kolam terbiar yang kosong! Kami berdualah yang perlu membuat apa yang perlu untuk menjadikan kolam itu bermanfaat. Bukan bermula dari kosong, sebaliknya hampir kurang lagi dari titik sifar.

Apakah yang terbayang di fikiran ahli program Tunas Mekar yang lain bila mereka dipertemukan dengan tapak perniagaan pengusaha yang ingin dijadikan mentor nanti? Paling tidak gambarannya, ia adalah satu perniagaan yang sudah stabil namanya, mempunyai infrastruktur atau bangunan yang indah dengan beberapa kakitangan digaji. Ini tidak berlaku apabila saya melawat kolam Abang Fauzi. Satu pendedahan yang membantutkan motivasi saya sebenarnya...

Saya dihidangkan 3 kolam terbiar, berlalang, tiada apa kecuali air yang bertakung. Di atas tanah kering, berbumbung langit dan panas matahari yang membakar. Sebuah lombong besar yang terbentang dihadapan bagaikan tersenyum melihat kehadiran pertama saya, mungkin mula menduga adakah saya akan kembali atau tidak lagi selepas ini. Tiada kolam ikan keli yang sudah dibina. Ianya kosong...

Bukan untuk bersikap negatif, saya menganggap inilah dugaan pertama kami dalam menceburi bidang penternakan ini. Perlu diingat bahawa Abang Faudzi tidak menganggap kami sebagai pelatih sahaja, namun lebih dari itu, kami dianggap rakan kongsi. Beliau menyediakan tanah dan kos benih untuk permulaan, kami menjaga dan menternak ikan mengikut prosedur yang dipelajari. Sampai masa tuaian, kesemua hasil adalah milik kami dalam bentuk ringgit. Inilah motovasi saya sekarang ini. Peluang yang tidak mungkin didapati oleh semua pelatih Tunas Mekar yang lain.

Perkara ini dapat dibaca oleh Abang Fauzi yang selepas itu membawa saya melawat Ketua Kampung tersebut, Encik Osman yang juga merupakan JKKP kampung tersebut. Sebelum itu saya diperkenalkan dengan Encik Nizam, pegawai pertanian daerah Kinta Selatan. Bersama beliau, saya diajar untuk tidak mengetepikan kuasa ketua kampung dalam apa jua hal. Dikirakan selepas ini saya bakal menjadi seorang usahawan, perkara yang penting dalam membuat sesuatu permohonan tanah, pinjaman, adalah sepatutnya menerusi rangkaian tangga kuasa sesuatu pihak. Bermula dengan Ketua kampung, penghulu, Pejabat Daerah, Pejabat Negeri dan Kementerian. Setiap usul perlu melalui kesemua pihak ini agar maklumat sampai kepada semua yang terbabit.

Turut dibincangkan adalah hal penempatan bagi pelatih. Bagi saya, penempatan adalah sama seperti 2 orang pekerja sedia ada Abang Fauzi. Namun bagi Nuraini, Encik Osman akan mempertimbangkan untuk mencari keluarga yang sesuai ataupun menginap di rumah beliau sendiri. Tidak jauh dari kampung Changkat Legong, terdapat perumahan yang mempunyai banyak rumah-rumah untuk disewa dengan kadar murah namun sepertimana dikatakan Abang Fauzi, keselamatan pelatih (terutamanya perempuan) mesti diutamakan. Jika tinggal di rumah Encik Osman, pastinya Nuraini lebih selesa kerana beliau juga mempunyai anak perempuan yang hampir sebaya. Perkembangan lain akan disusuli Abang Fauzi dalam beberapa hari lagi.

Selepas itu saya dibawa bertemu Tuan Haji Jaafar, Iron Man Gopeng. Beliau mempunyai perniagaan ikan keli dan beberapa tanaman buah-buahan. Latihan saya juga bakal menemukan dengan Tuan Haji Jaafar untuk tajuk pembenihan. Beliau mempunyai 68 buah koman namun hanya mengusahakan 6 kolam sahaja. Baru-baru ini beliau memasukkan 40000 benih baru ke dalam kolam, jadi masanya adalah sangat sesuai untuk kami pelatih memulakan latihan secepat mungkin.

Abang Fauzi juga mempunyai skop tersendiri untuk melatih kami. Dengan 3 kolam terbiar, beliau bersifat adil bagi saya kerana menjanjikan pulangan 100% ikan keli nanti adalah milik kami berdua sahaja. Terpulang dengan apa jua pembangunan kolam untuk menjadi rencana kami nanti. Selain itu, beliau bercadang akan menjadikan kami rakan kongsi untuk projek 2010 beliau di lombong berdekatan tadi. Projek apa, itu masih tidak mahu didedahkan beliau. Namun melihatkan keluasan lombong tadi, ia bagaikan menjanjikan sesuatu kepada sesiapa yang sabar...

Assalamualaikum

Program Tunas Mekar

Assalamualaikum...

Agak lama tidak ada sebarang aktiviti terbaru dari saya. Adalah kerana agak sibuk dalam menjalankan tugas harian yang baru mendapat pekerjaan di Impiana Casuarina Hotel Ipoh. Walaubagaimanapun, panggilan Rabu lepas amat bermakna bagi saya.

Ia merupakan panggilan untuk menghadiri program Tunas Mekar di Ipoh yang bermula 14 sehingga 16 Julai 2009 bertempat di Tower Regency Hotel Ipoh. Walaupun terlewat namun saya berkesempatan ke Majlis Perasmian yang berlangsung pada hari terakhir tersebut di mana ia dirasmikan oleh Menteri Besar perak sendiri, Dato' Zamri bin Abd Kadir.

Program Tunas Mekar adalah anjuran Uitm bersama Jabatan Perdana Menteri. Ia menyediakan peluang untuk para graduan memulakan atau lebih spesifiknya menyediakan ilmu dalam apa jua bidang perniagaan yang ingin diceburi berdasarkan konsep 'mentor mentee'. Sehubungan dengan itu, latihan praktikal selama setahun perlu dijalani para pelatih untuk menyediakan pengalaman dan memantapkan diri bagi memulakan perniagaan.

Tunas Mekar bermatlamatkan dua perkara iaitu menjana pendapatan kepada pengusaha menerusi pekerjaan oleh graduan. Graduan akan berkolaborasi dengan pengusaha untuk memberikan komitmen dan pembangunan dari segi pengemaskinian oleh graduan yang berkebolehan. Kedua, ia membekalkan ilmu yang bermanfaat bagi graduan untuk memulakan perniagaan kerana program yang berjalan selama setahun ini pastinya menjadi modal paling berharga untuk mengetahui segala selok belok perniagaan yang diceburi.

Tunas Mekar juga menyediakan elaun RM800 sebulan di samping gaji dari RM200 ke RM300 disediakan oleh pihak pengusaha. Dalam hal ini, saya telahpun mengambil pengusaha Encik Mohamad Faudzi bin Sudin dari MFBS Agro yang berpangkalan di Gopeng, Perak. Encik Fauzi atau Abang Fauzi mempunyai perniagaan Cendawan, Ikan Keli dan Fertigasi Cili.

Setelah para graduan melalui proses pemadanan dengan pengusaha, saya bersama seorang lagi peserta, Cik Nuraini binti Zainal Abidin dipilih menjadi pelatih kepada Abang Fauzi. Semoga kolaborasi ini akan menjadi pengalaman berharga untuk kami mempelajari selok belok penternakan ikan keli, insyaAllah...

Assalamualaikum

Jumaat, 3 Julai 2009

Kursus Ternakan Ikan dalam Tangki siri 3/2009

Encik Sukri bin Deris ketua pusat ikan hiasan

Majlis penutup bersama Tok Penghulu kami

Pelan ke PIHE

Kelas eksperimen bersama Encik Aliah Mat

Teknik memasukkan benih ikan ke kolam

Ujian kecergasan ikan

Unit pengeluaran ikan dan pengembangan

PIHE...
Assalamualaikum...

Alhamdulillah akhirnya tamat kursus ysng dijalankan selama 3 hari di Pusat Ikan Hiasan di enggor, Kuala Kangsar, Perak. Kursus kali ini dikatakan agak ramai iaitu seramai 30 orang kesemuanya. Ramai juga yang hadir dari luar negeri Perak. Ada dari Selangor, Pulau Pinang dan juga Negeri Sembilan. Semua peserta berkongsi pengalaman masing-masing dan ini adalah antara pengalaman paling berharga saya.

Saya datang bersama rakan, Mohd Affindi dari Simpang Pulai yang juga menternak ikan keli. Duduknya kami di Dorm Kelah. Kelas diadakan pada 8.30 pagi - 10.30 pagi. Selepas minum pagi iaitu pukul 11 hingga 1 petang dan selepas waktu tengahari iaitu 2.30 - 4.30 petang. Selepas itu adalah aktiviti bebas para peserta kursus.

Di seberang jalan Pusat Ikan Hiasan ini terdapat Unit Pengeluaran Ikan dan Pengembangan bagi Jabatan Perikanan Negeri untuk menternak ikan-ikan hiasan dan ikan air tawar bagi bekalan penternak. Walau bagaimanapun ianya adalah masih sangat terhad. Kami banyak belajar secara amali di sini kerana ia mempunyai banyak kolam-kolam ternakan. Terdapat juga kolam jenis Locust untuk menternak ikan Tilapia yang bernilai 130K...

Pelbagai lagi gambar boleh didapati di web Facebook saya (Adi Noramin). Kursus ini walaupun amat memberi ilmu dan pengetahuan, namun beberapa perkara sudah mula mengelirukan saya di sini. Salah satunya ialah Jabatan Perikanan sendiri tidak menggalakkan teknik Organik sepertimana yang saya pelajari sebelum ini. Adalah agak ganjil juga difikirkan mengepa teknik sebegini tidak digalakkan kerana ianya mengikut habitat asal ikan keli.

Namun pengalaman beberapa peserta kursus sendiri banyak mengiyakannya. Saya sendiri mula keliru dengan teknik apakah yang sepatutnya akan saya lakukan. Pun begitu ianya tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan bidang ternakan ini.

Kumpulan kursus kali ini agak berdukacita kerana tidak dapat membuat lawatan ke Kolam ternakan di Bidor sepertimana terdapat dalam jadual pada asalnya. Ia digantikan dengan menghadiri perasmian Agro Fest di Infoternak Sungai Siput. Walaupun ianya merupakan ekspo pertanian dan penternakan, namun ianya tidak memberi maklumat yang kami perlukan. bagi saya inilah sahaja ralatnya kursus kali ini.

Walaubagaimanapun saya telah mendaftar untuk kursus pembenihan pula yang akan diadakan di Jitra Kedah bulan Oktober ini. Harap-harap diterima. Kepada semua peserta kursus penternakan ikan air tawar dalam tangki diri 3/2009, semoga berjaya dan jumpa lagi.

Assalamualaikum.