CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 17 Jun 2009

Lawatan ke Kolam Puan Maimunah

Kolam simen

Kolam tanah yang masih menyerap air

Pelepasan anak ikan ke kolam

Matikan kolam

Puan Maimunah dan suami

Keladi bunting yang cantik

Assalamualaikum...

Saya telah pun membuat kunjungan ke Kolam Puan Maimunah dan suaminya yang terletak di hujung Jalan Kedidi di Kg. Dato' Haji Ahmad Said, Manjoi, Ipoh. Walaupun agak sukar mencari jalannya kerana Manjoi adalah gugusan kampung terbesar di Malaysia, namun berkat kenduri kahwin yang saya kunjungi minggu lepas, saya jumpa juga dengan Jalan Kedidi.

Setibanya di sana, Puan Maimunah dan suami sedang memindahkan benih ikan keli yang sebesar 4 inci ke dalam kolamnya. Beliau mempunyai 4 kolam simen dan sebuah kolam tanah. 2 kolam simen baru sahaja lepas proses matikan kolam dan satu lagi masih di dalam proses tersebut. Sebuah kolam tanah masih dalam pembinaan dan tergendala kerana air tidak dapat ditampung dek kerana meresap di dalam tanah.

Puan Maimunah dan suami memindahkan satu-persatu benih keli di dalam plastik ke dalam sebuah tudung saji (orang Perak gelarkan 'Sangei'). Ini untuk memudahkan pengelasan di lakukan sebelum memindahkan ke dalam kolam. Yang besar di asingkan. Terdapat juga sebilangan yang mati.

Sebuah plastik tersebut mengandungi 500 benih keli. Benih keli ini diambil dari Encik Hashim di Gopeng. Walaupun pada asalnya Puan Maimunah memesan 7000 ekor benih ikan keli, namun ketiadaan stok menyebabkan Encik Hashim cuma dapat membekalkan 5000 dahulu.

Benih-benih ikan keli yang dihasilkan oleh Encik Hashim adalah antara yang terbaik di Ipoh ini. Harganya juga adalah sangat berpatututan. Setakat ini, Puan Maimunah telah membeli banyak daripada beliau namun kadar kematian adalah sangat sedikit. Jadi tidak hairanlah Encik Hashim mempunyai banyak pesanan sehingga sentiasa kehabisan stok (saya juga masih menunggu stok daripadanya). Walaubagaimanapun Encik Hashim tidak memesan stok lain pula untuk menampung pesanan kerana bimbang dengan kualiti ikan dari pengeluar lain.

Ini adalah kali pertama saya melihat benih ikan keli dilepaskan di dalam kolam. Memang lenguh juga kaki kerana tidak dapat bergerak bebas, takut terpijak ikan pula. Kerja harus dilakukan dengan pantas dan jangan sampai terlepas pandang ikan yang besar untuk diasingkan.
banyak yang saya pelajari di sini. Semoga ilmu demi ilmu yang saya timba dapat membimbing saya dan HAE dalam penternakan ikan.

Assalamualaikum

Isnin, 8 Jun 2009

Lawatan ke kolam Encik Hashim di Gopeng

Keli diberi makan pallet

Benih keli 4 inci tempahan Puan Maimunah

Keli yang hampir matang

Benih keli 50000 ekor

Kolam Organik



Assalamualaikum

Sejurus selepas ke jabatan-jabatan tadi, saya berkesempatan melawat ke kolam rakan saya yang baru menjalankan teknik matikan 4 buah kolam simennya yang masing-masing berukuran 12 kaki x 8 kaki. Ia terletak di belakang rumah beliau di Simpang Pulai.

Pukul 6 petang, kami bergegas ke Kampung Gunung Panjang di Gopeng Perak. Ketiadaan beliau, kami disambut oleh adik beliau yang tinggal sebelah rumahnya.

Kolam Encik Hashim tampak teratur dengan 2 kolam yang masing-masing mempunyai 50000 benih keli. Terdapat satu kolam organik dimana Encik Hashim sengaja menternak sebilangan keli di dalamnya hanya untuk melihat hasilnya. Dalam 6 bulan, air masih elok dan tidak perlu ditukar.

Puan Maimunah dari Taman Meru juga ada menempah 21000 ekor benih keli dari Encik Hashim. Ia akan dihantar esok ke kolam Puan Maimunah yang terletak di Jalan Kedidi, Kg. Dato' Hj Ahmad Said, Manjoi Ipoh. Jika berkesempatan, ingin saya melihat dan mempelajari proses menaruh benih keli ke kolam oleh Puan Maimunah.

Benih keli dari Encik Hisham adalah antara yang terbaik dan termurah di Ipoh sehinggakan terdapat segelintir yang menjadi orang tengah memasarkan kembali benih yang dibeli dari Encik Hashim dan dijual semula dengan harga yang lebih tinggi. 

Saya juga telah menempah 1000 ekor ikan keli 3 inci untuk memulakan proses experimentasi dengan kaedah Organik yang dipelopori oleh Hayati Haron dari Taiping. Semoga langkah ini dengan sekelip mata akan mencapai 6 bulan untuk seterusnya dapat membuat pinjaman dan mengembangkan lagi sayap HAE. Amin...

Assalamualaikum

Pinjaman TEKUN dan Jabatan Belia dan Sukan

Assalamualaikum.

Petang tadi saya berkesempatan ke Pejabat Belia dan Sukan Ipoh Perak dan Pejabat TEKUN di sini. Tujuan asalnya adalah untuk mendapatkan seberapa informasi mengenai pinjaman untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan. Saya telahpun mempunyai sebuah kertas kerja untuk membuat pinjaman bernilai RM9000 sahaja.

Maklumat yang saya perolehi, Jabatan Belia dan Sukan hanya akan memberi pinjaman kepada peniaga yang telah mengusahakan perniagaannya sekurang-kurangnya 6 bulan. Pinjaman adalah serendah 5000 sehingga 50000. Bagi pihak HAE, perniagaan kami hanya bermula 2bulan lalu iaitu 9 April 2009 dan masih belum mempunyai sumber kewangan. Jadi adalah agak ralat di sini walaupun saya telah menghadiri kursus asas perniagaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Akademi Kemahiran Belia Negara di Batu Gajah sekitar 2 tahun lalu. (Jikalau anda masih ingat iklan 'Saya bukan Along, saya cuma mahu tolong'.

Seingat saya semasa menjalani kursus tersebut, tidak pernah dinyatakan bahawa perniagaan haruslah berjalan 6 bulan baru boleh membuat pinjaman. Jikalau begitu keadaannya, kursus itu sepatutnya tidak perlu dijalankan. Ianya hanya mempelajari cara membuat kertas kerja untuk memulakan perniagaan, maka tiada gunanya kertas kerja tersebut jika pinjaman hanya boleh dibuat selepas 6 bulan berjalannya perniagaan.

TEKUN pula akan bertukar kementerian. Jika sebelumnya MECD yang mengelolakannya, sekarang ia bakal bertukar kepada Kementerian Pertanian. Maka sebarang pinjaman adalah di 'hold' kan dahulu. Kebanyakan peminjam yang mengusulkan borang sejak dari bulan 12 dan 1 juga masih belum diambil tindakan. Jika boleh pun, nilai pinjaman seharusnya tidak melebihi RM3000...

Begitulah agak sukarnya untuk memulakan perniagaan di masa sekarang bagi yang tidak mempunyai modal. Maka tidak hairanlah jika segelintir daripada kita masih bergantung kepada Along juga. Diharap pihak kerajaan memandang kisah ini seberat mungkin. Bagi pihak HAE, masih mampu menunggu 6 bulan untuk meminjam daripada Jabatan Belia dan Sukan, namun mungkin boleh diberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar ingin menjana wang melalui perniagaan dan mungkin dengan meminjam sahaja,perniagaan dapat dimulakan.

Begitu juga kepada peminjam-peminjam yang telahpun mendapat pinjaman dari TEKUN, sila lah bayar mengikut perjanjian. Kasihanlah kami dan bakal pemohon yang lain yang ingin meminjam wang juga. Wang dari TEKUN sudah tidak dapat 'rolling' semula disebabkan ada yang lari setelah mendapat wang pinjaman. Begitu juga yang meminjam terlalu banyak sehingga tidak mempu membayar semula. Diharap masih ada peluang untuk orang lain.

Assalamualaikum

Slowly but surely...

Keladi bunting yang tak berapa banyak lagi

Baja B1 dan air baru

Kolam diletakkan jaring orkid untuk elak nyamuk

Semasa proses matikan kolam

Kanvas gantian lapisan atas

Assalamualaikum...

Agak lama tidak mengemaskini blog ini berikutan beberapa masalah yang hadir. Antaranya ialah rakan pemilik iaitu Haziman terpaksa mengundurkan diri buat sementara waktu berikutan menjalani bisnes yang lain. Maka Hazmin Aqua Enterprise dijalankan secara berseorangan sahaja dengan pemilik tunggal Adi Noramin bin Mohd Resat.

Setakat ini, Hazmin Aqua Enterprise telah membuat akaun di CIMB Islamic dan hanya mempunyai sebuah kolam kanvas berukuran 6 kaki x 5 kaki sahaja. Berikutan pembelian kanvas yang agak murah (RM89) maka kanvas biru merah itu didapati terdapat banyak kebocoran di tempat jahitannya. Ia membantutkan usaha menjalankan ujian penternakan awal HAE.

Namun setelah beberapa cara diambil, antaranya menggunakan gam silikon di dalam dan luar kanvas, ternyata tidak berhasil. Saya telah membeli kanvas buka untuk menjadi lapisan dalam untuk kanvas yang bocor tersebut. Harganya cuma RM33 sahaja dan dihartap dapat menampung 1000 ekor ikan dan boleh digunakan dalam masa 3 bulan ini.

Kolam telah menjalani proses mati dengan buah nanas, cuka dan batang pisang diisi dan dibiarkan selama seminggu bermula 1 Jun lalu. Petang tadi saya telah menghubungi salah seorang agen pembekal baja B1 Yati Lintah dari Taman Meru 2B, Puan Maimunah. Beliau mempunyai 4 kolam simen yang terletak di Jalan Kedidi, Kg Dato haji Ahmad Said, Manjoi Ipoh. Beliau akan mula memasukkan 21000 anak benih keli pada Selasa ini.

Puan Maimunah juga telah mengesyorkan saya dengan Encik Hashim dari Gopeng, Perak yang membekalkan keli berharga RM0.086 sahaja. ini agak menjimatkan berbanding beli dari pihak Yati Lintah yang menjual harga sekitar RM0.15 seekor. Encik Hashim dikatakan membuat pembenihan sendiri dan mempunyai benih yang baik grednya. Ini dibuktikan dengan pembelian 21000 ekor oleh Puan Maimunah.

Oleh itu pihak HAE, iaitu saya akan membeli 1000 ekor benih keli dari Encik Hashim untuk permulaan kolam kanvas  kecil ini. Kolam kanvas pertama HAE ini telahpun ditabur baja B1 dan diletakkan Keladi Bunting yang dicari di sebuah lombong di Jalan Bangau, Kg. Dato Haji AHmad Said, Manjoi, Ipoh. Lombong ini mempunyai banyak keladi bunting yang elok.

Langkah seterusnya bagi Hae ialah membuat kertas kerja untuk pinjaman sekitar RM9000 untuk membina 3 buah kolam simen berukuran 12 kaki x 12 kaki. Kolam-kolam ini akan dimuatkan 10000 ekor benih keli masing-masing. Kertas kerja rancangan perniagaan adalah dalam peringkat akhir.

Semoga apa masalah yang terjadi bakal mendapat pertolongan Tuhan, bukan sahaja pihak HAE bahkan kepada semua pengusaha Keli di Ipoh, Perak, mahupun seluruh Malaysia. Semoga Tuhan merahmati usaha murni menjana pendapatan halal dengan perniagaan ini. Amin...

Assalamualaikum